03 February, 2009

Walimatulurus


Assalamualaikum


Baru-baru ini aku terbaca artikel menarik dari blog member sekolah aku dulu iaitu Hazwan yang menceritakan pengalamannya menghadiri sesuatu walimatulurus (majlis perkahwinan). Memang aku tertarik sangat dengan artikel itu sebab ia menceritakan suasana walimatulurus kat tempat kediaman member aku tu. Aku sangat setuju dengan pandangan dia bahawa budaya walimatulurus agak berbeza sekarang dan terdapat kesalahan yang biasa dilakukan dalam majlis seperti itu.


Kali ini aku nak beri pandangan aku sendiri pasal suasana majlis perkahwinan yang pernah aku pergi. Memang berbeza sekali suasana di setiap rumah itu. Tetapi yang pasti majlis tu memang meriah.


Apa yang aku perasan terdapat perbezaan budaya walimatulurus semasa aku kecil dahulu dengan zaman sekarang. Ada juga perubahan yang aku sokong. Contohnya:


1) Pemberian cenderahati


- Kalau dulu memang hanya telur rebus sahaja yang popular. Jarang dapat benda lain. Asal pergi rumah orang kahwin je mesti dapat telur rebus yang dibungkus dalam kotak kecil. Kalau nasib baik dapat la telur rebus yang dibungkus dengan hiasan bunga2 dan lidi yang selalunya diletak kat pelamin pengantin. Tapi sekarang dah macam2 benda yang dijadikan cenderahati. Contohnya agar-agar, kerepek, gula-gula, coklat, kuih muih dan sebagainya. Bagi aku tiada salahnya perubahan ini kerana ia bergantung kepada kreativiti dan keikhlasan tuan rumah itu sendiri nak bagi apa asalkan ianya sesuai dengan majlis.


2) Hidangan


- Kalau dulu semua makanan untuk majlis akan dihidang apabila tetamu sudah berada di atas meja. Konsep ini sama je macam kat restoran iaitu tetamu akan dilayan sepenuhnya oleh kakitangan majlis itu sendiri. Kita hanya tunggu makanan dihidang dan boleh meminta kepada mereka jika ada ingin menambah lauk. Cara ini memang elok kerana ia menunjukkan budaya menghormati tetamu yang sangat tinggi dan tetamu dilayan sepenuhnya oleh kakitangan majlis. Namun begitu kadangkala ia mengganggu kelancaran majlis sekiranya tidak dilakukan dengan betul. Selalunya ini berlaku jika tak cukup kakitangan sebab bukan sorang tetamu sahaja yang nak dilayan malahan ramai lagi. Sekarang ini hidangan kebanyakannya dalam bentuk layan diri (buffet). Makanan akan diletakkan di satu tempat khas dan tetamu akan mengambil sendiri hidangan mereka. Kakitangan majlis hanya perlu mengemas meja sahaja tanpa perlu melayan tetamu.Bagi aku walaupun perubahan ini agak janggal dari segi adab kita, tetapi untuk melancarkan perjalanan majlis ia agak berkesan.


Namun begitu, terdapat juga perkara2 atau kesalahan dalam walimatulurus yang aku tidak bersetuju sama sekali. Antaranya:


1) Hiburan


- Sekarang ini kebanyakan majlis kahwin mesti ada siaraya yang akan memutarkan macam2 lagu. Kadang2 tu siap ada deejay yang asyik melalut sorang2 dan ada jugak tempat karaoke kat situ. Aku tak setuju sebab benda ini mengganggu ketenteraman tetamu yang sedang menjamu selera. Lagu yang dimainkan dipasang dengan begitu kuat ditambah dengan speaker yang besar memang menyakitkan telinga. Cuba la tuan rumah tu fikir, bukan semua tetamu yang suka benda macam ni. Tetamu nak bersembang sesama sendiri pun tak terdengar sebab lagu yang dipasang terlalu kuat. Cuba fikir kalau ada orang tua2 yang ada sakit jantung pastu kalau ada bayi kecil yang sedang tidur kat dalam suasana majlis seperti ini, selesakah mereka? Itu belum lagi kalau kita bercakap jiran2 sekeliling yang terganggu dengan perkara ini.


2) Makanan


- Makanan asas dalam sesuatu majlis kahwin selalunya adalah nasi, lauk ayam, lauk daging, buah buahan, kuih muih dengan air sejuk. Semua ini memang sesuai dalam majlis ini. Cuma kadangkala tuan rumah kurang arif dalam penyediaan lauk pauk ini. Pertamanya mengenai nasi. Selalunya majlis kahwin mesti ada nasi minyak atau nasi beriyani dan nasi putih. Ada rumah yang hanya sediakan nasi minyak sahaja. Bukannya salah apa. Cuma kalau kita fikir tak semua tetamu yang datang boleh makan nasi minyak. Contohnya orang yang ada penyakit dan terpaksa berpantang makan atas nasihat doktor. Selalunya orang tua2 yang nak jaga kesihatan tak makan nasi minyak. Sebaiknya mesti sediakan kedua duanya sekali iaitu nasi minyak/nasi beriyani dan nasi putih. Kalau tak mampu, sediakan nasi putih sahaja sebab majoriti orang boleh makan nasi putih. Keduanya mengenai lauk pauk. Selalunya majlis kahwin mesti ada dua lauk yang penting ini iaitu ayam dan daging. Cara masakannya terpulang kepada tuan rumah itu sendiri. Cuma yang menjadi masalah ada rumah yang hanya sediakan satu lauk sahaja. Contohnya ada yang sediakan lauk ayam tapi takde lauk daging. Ini tak menjadi masalah sangat. Yang menjadi masalah adalah lauk daging disediakan tapi takde lauk ayam. Cubalah tuan rumah itu fikir, berapa ramai sangat yang makan lauk daging? Kanak2 kebanyakannya yang aku tengok tidak mahu makan sebab tak gemarkan daging berbanding ayam. Last2 mak ayah mereka yang buntu nak bagi anak mereka makan apa kat majlis kahwin tu. Pastu kalau kita lihat tetamu dari kalangan kaum Cina dan India. Aku pernah tengok tetamu India yang datang untuk meraikan majlis kahwin itu hanya minum air sebab tak boleh makan lauk daging yang memang dilarang dalam agama mereka. Ada jugak orang tua2 yang tak boleh makan daging atas sebab kesihatan. Tak kesian ke bila lihat tetamu yang sanggup datang dari jauh pastu tak dapat makan? Kita kena fikirkan semua itu. Tak kisah kalau tak sediakan lauk lain tapi lauk ayam mesti disertakan dengan lauk daging supaya tetamu ada pilihan. Bukanlah kita nak memilih tetapi situasi setiap tetamu berbeza sesama mereka. Memang diakui penyediaan lauk sebegitu bergantung kepada kemampuan tuan rumah tetapi kita kena utamakan tetamu terlebih dahulu. Biarlah pelamin tak berhias asalkan keselesaan tetamu dijaga sebab mereka yang memeriahkan majlis kahwin ini dan bukannya hiasan di pelamin. Kalau tak mampu jugak buatlah majlis secara kecil kecilan melibatkan sanak saudara sahaja. Pendek kata, ukur baju di badan sendiri la.


3) Catatan Tetamu


- Ada sesetengah budaya tuan rumah mencatatkan nama tetamu yang hadir dan merekodkan berapa jumlah duit yang disedekahkan oleh tetamu. Siap ada kaunter pulak tu. Macam nak jelaskan yuran sekolah. Tujuan dibuat begitu supaya sebagai rujukan kadar yang dia nak sedekah bila tetamu itu buat majlis perkahwinan nanti. Contohnya kalau tetamu yang datang itu sedekahkan RM10 kepada tuan rumah itu, kelak apabila tetamu itu buat majlis kahwin, tuan rumah itu akan sedekahkan balik RM10. Kalau ada tetamu yang sedekahkan RM1000, sanggup ke membalasnya kalau tetamu itu buat majlis kahwin dia nanti? Pastu kalau tetamu yang datang itu takde anak dan mungkin takkan buat majlis kahwin, bila masanya nak membalas? Sesungguhnya perkara ini seperti membodohkan diri sendiri. Sebabnya sedekah ini bergantung kepada keikhlasan hati. Apa yang tetamu sedekahkan itu terima je la dengan hati terbuka. Aku memang tak bersetuju dengan cara ini.


p/s: Nasihat aku, kalau nak buat majlis kahwin ini biarlah ikut kemampuan dan sederhana. Tapi yang paling penting tetamu mesti diutamakan berbanding perkara yang lain.

0 comments: